Foto kredit : story.motherhood.com.my
Sebagai ibu bapa, kesihatan si manja anda sememangnya menjadi perhatian utama dalam memastikan anak anda kekal sihat. Namun begitu, para ibu dan bapa tidak dapat menjamin kesihatan si manja mereka. Bayi mungkin mengalami demam panas, selesema atau pun batuk yang akan mengganggu tumbesaran mereka.
Pastinya ibu dan bapa menjadi risau dan bimbang akan apa tindakan yang perlu diambil untuk membantu si manja mereka. Jika diberi peluang, sudah pasti mereka ingin memindahkan segala sakit yang dialami oleh si manja ke diri mereka, namun apakan daya, perkara itu tidak akan mungkin berlaku.
Ketika anak anda sakit seperti demam, tidak semua ibu dan bapa tahu bagaimana dan apa cara yng paling berkesan untuk mengatasi masalah demam pada bayi anda. Perlukah memberi ubat? Jika perlu, apakah ubat yang sesuai untuk bayi anda? Perlukah membawa terus berjumpa doktor ataupun adakah tindakan yang perlu diambil dahulu?
Sebelum kita teruskan dengan tindakan dan langkah yang boleh diambil oleh para ibu dan bapa, mari kita ketahui dahulu apakah punca bayi anda demam.
Foto kredit : www.vemale.com
BAYI ANDA DEMAM
Demam pada bayi adalah satu keadaan atau kondisi yang biasa berlaku apabila imun sistem badan anak anda sedang aktif bekerja. Ia menunjukkan bahawa tubuh badan si manja anda mampu melawan penyakit yang menyerang badannya dan ia adalah satu reaksi yang sihat dari segi perkembangan tumbesarannya.
Namun begitu, jika bayi anda berusia 6 bulan kebawah, demam itu mungkin menjadi lebih serius. Hal ini kerana agak jarang bagi bayi seawal usia ini untuk mengalami suhu badan yang tinggi, jadi ia mungkin menunjukkan sesuatu yang tidak kena pada sistem badannya.
3 JENIS TAHAP DEMAM
Bayi anda boleh mengalami 3 jenis tahap demam iaitu :
- Demam ringan – kenaikan suhu badan yang sedikit sehingga 37°C, mungkin sehingga 37.5°C.
- Demam biasa – kenaikan suhu badan sehingga 38-38.5°C
- Demam tinggi – apabila suhu badan naik sehingga 39°C atau lebih lagi.
Demam yang menyebabkan kenaikan suhu yang tinggi boleh membahayakan kesihatan bayi dan dan mungkin boleh menyebabkan sawan akibat suhu terlalu tinggi.
Jadi jika suhu badan melebihi daripada 39°C ibu bapa disarankan untuk memberi ubat demam dan untuk membawa anak anda berjumpa doktor.
Ibu bapa yang bayi mereka sedang demam ringan atau demam biasa, bolehlah cuba kaedah yang dikongsi oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar, di laman Instagramnya, ketika anak kembarnya Adam mengalami demam dan selesema.
- Tanggalkan baju bayi
Dengan suhu yang tinggi iaitu 38 hingga 39 darjah selsius, anda perlu tanggalkan baju bayi dan hanya memakaikannya dengan lampin sahaja. - Tuala basah
Letakkan tuala basah ke atas badan mereka untuk menurunkan suhu mereka. - Guna 'koolfever'
Biasanya saya akan menggunakan 'koolfever' ke atas badannya sepanjang malam - Demam campak atau 'chickenpox'
Dalam masa yang sama perhatikan jika ada sebarang ruam atau tanda merah yang naik ke atas badan bayi anda. Biasanya ruam demam campak atau 'chickenpox' akan keluar selepas masa lima hari demam panas. - Asingkan dengan adik-beradik lain
Ibu bapa perlu bersabar ketika merawat anak yang sakit dan cuba asingkan bayi yang demam dengan adik beradik lain - Teruskan susuan ibu.Ibu perlu terus menyusukan bayi yang demam
Foto kredit : www.babycenter.com.my
Sheikh Muszaphar memberitahu selepas mengamalkan kaedah tersebut selama tiga hari, anaknya pulih dari demam tanpa mengambil sebarang ubatan.
Akhir kata, apabila si manja anda demam, ibu dan bapa hendaklah cuba untuk menurunkan suhu badan bayi yang panas untuk membantu si manja anda untuk sembuh. Sekiranya tiada sebarang perubahan terhadap suhu, sekalipun selepas mengambil langkah seperti diatas, segeralah berjumpa dengan pakar perubatan atau doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber rujukan :
https://my.theasianparent.com/bayi-demam-panas/
http://www.gempak.com/artikel/8228/dr-sheikh-muszaphar-kongsi-tip-rawat-bayi-demam-tanpa-ubat
https://my.theasianparent.com/apa-ibu-bapa-perlu-tahu-apabila-bayi-demam/
https://majalahpama.my/jika-tiba-tiba-bayi-demam-panas-buat-cara-ini-dulu-nak-turunkan-suhu/