Ibu yang mengandung secara automatik akan mengambil berat tentang makanan yang diambil yang mana mengandungi nutrisi dan khasiat yang penting untuk kesihatan ibu dan juga bayi yang dikandung.
Ibu hamil juga perlu untuk mengekalkan keadaan fizikal untuk kekal aktif dan sihat bagi meneruskan kegiatan harian seperti bekerja, mengurus rumah, memasak dan juga lain-lain.
Apa yang dikhuatiri para ibu adalah pengambilan makanan yang seimbang akan mengundang permasalahan seperti risiko kencing manis dan juga kurang berat badan.
Namun begitu, ketelitian dalam memilih pemakanan memerlukan masa dan tenaga dan menyukarkan jadual harian terutama kepada para ibu yang bekerjaya.
Disini disertakan beberapa jenis pemakanan yang baik dan dapat membantu menghilangkan kerisauan para ibu dalam memastikan kesihatan bayi dan diri kekal sihat dan aktif.
KEPENTINGAN PENJAGAAN MAKANAN
Penjagaan makanan sinonim dengan kesihatan diri. Pengambilan makanan secara lebihan atau kurang akan menyebabkan beberapa komplikasi yang dapat menjejaskan kesihatan diri dan anak.
Dengan memastikan pengambilan makanan yang betul, para ibu dapat mengawal berat badan mereka dari terlebih atau berkurang yang mana berat badan yang naik secara mendadak menjurus kepada masalah kencing manis dan penurunan berat pula boleh menyebabkan pembentukan tidak sempurna organ bayi
Pemakanan yang sihat juga dapat mengelakkan dari penyakit yang mampu menggugat kesihatan bayi dalam kandungan, dan juga kesihatan ibu.
JENIS MAKANAN YANG PERLU DIAMBIL
Antara makanan yang perlu diambil oleh para ibu adalah seperti berikut:
- KURMA
Kurma merupakan makanan yang mengandungi pelbagai khasiat yang terbukti secara saintifik. Jus kurma yang dapat membantu mencegah dari sembelit, lemah otot, sengal badan, lesu dan juga dipercayai dapat membantu menguatkan ingatan bayi.
Mengikut kajian, jus kurma dapat membantu pencengkaman rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat-urat Rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan juga membantu memudahkan proses kelahiran bayi.
Selain itu, jus kurma juga berkesan dalam meredakan tekanan darah tinggi dalam badan.
- KEKACANG DAN BIJIAN
Makanan dari sumber kekacang dan juga bijian ini menyumbang kepada fiber dan juga folate kepada ibu dan juga kandungan.
Folate (asid folik) merupakan salah satu vitamin B-9 yang berfungsi dalam membentuk darah merah, mencegah masalah pendengaran dan juga dapat memelihara kesihatan otak bayi dalam kandungan.
Dengan mengambil amaun yang secukupnya, kekacang dan bijian secara tak langsung dapat memberi impak positif kepada ibu dan juga bayi.
- SUSU DAN MAKANAN BERKALSIUM TINGGI
Ibu hamil memerlukan 2 kali jumlah kalsium berbanding biasa.
Dengan pengambilan makanan seperti susu, tauhu, dadih, para ibu dapat membantu mengelakkan tubuh berasa letih, tidak sihat, dan anemia, sekaligus dapat kekal aktif untuk menjalani kehidupan seharian.
- SAYURAN BERDAUN HIJAU
Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli sarat dengan vitamin dan nutrisi seperti vitamin A,C, dan K, asid folik (folate).
Selain itu, sayuran hijau juga dapat membantu dengan proses pencernaan bagi memastikan toksin dapat dibuang dari badan.
- AIR KOSONG
Air kosong tidak mempunyai sebarang nutrisi seperti makanan yang lain, namun begitu, air kosong mempunyai kepentingan yang tersendiri.
Air kosong dapat membantu melancarkan sistem tubuh dan juga dapat mengembalikan kesegaran badan.
Sewaktu proses kehamilan, para ibu sangat digalakkan minum air kosong sebanyak 2 liter sehari.
JENIS MAKANAN YANG PERLU DIELAK
Disamping pemilihan makanan yang sihat dan berkhasiat, para ibu juga harus mengelak makanan yang dapat menggugat kesihatan bayi dan juga para ibu.
Antara contoh makanan yang perlu dielak pula adalah makanan yang mentah seperti telur, daging, sayur, keju dan ayam mentah.
Hal ini kerana makanan mentah mengandungi mikrob berbahaya seperti Salmonella , Escherichia coli (E.coli), Toxoplasma gondii, yang menyebabkan penyakit berbahaya seperti toxoplasmosis (Toxoplasma gondii) dan juga keracunan makanan (Salmonella dan E.coli)
Selain itu, pengambilan minuman keras sangat lah tidak digalakkan bagi ibu mengandung kerana ia boleh menyebabkan kecacatan fizikal dan keupayaan mental pada bayi yang akan dilahirkan.
Akhir kata, sebagai ibu, anda bertanggungjawab untuk memastikan nutrisi yang diambil dapat membantu dalam kesihatan diri terutamanya dan juga kesihatan bayi anda.
Dengan pegambilan makanan yang berkhasiat, para ibu yang mengandung dapat kekal aktif, sentiasa sihat sekaligus dapat memastikan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan selamat.
Ibu bijak, anak sihat walafiat.
Gambar :www.shutterstock.com
Sumber rujukan :
http://ibusyurga.blogspot.com/2017/11/makanan-untuk-ibu-mengandung.html
https://www.hmetro.com.my/hati/2017/12/295517/jaga-pemakanan-ketika-hamil
http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-semasa-mengandung/
https://siraplimau.com/makanan-minuman-dilarang-dihindari-dielakkan-ibu-hamil/