Foto : Wanista.com
“Diri sakit, baring sakit, duduk sakit. Aish, susah la nak buat keje macam ni kalau asyik sakit je”
Sakit belakang adalah perkara yang lazim bagi wanita yang baru sahaja selepas bersalin.
Kebiasaannya, sakit ini akan berkurang secara beransur-ansur selepas 2 minggu. Namun, sakit belakang ini akan wujud kembali selepas para ibu mula mendukung bayi ataupun sewaktu menyusu.
KENAPA SAYA SAKIT BELAKANG SELEPAS BERSALIN?
Hormon yang dikenali sebagai relaxin, dimana bertujuan untuk melegakan sendi dan ligamen di bahagian pinggang pelvis supaya ada lebihan ruang untuk melahirkan anak, akan dilepaskan ketika wanita itu sedang hamil.
Sendi-sendi lain yang menerima kesan dari hormon relaxin ini akan terdedah kepada ketidakstabilan dan menjejaskan postur badan, dimana penjajaran tidak seimbang pada sendi, keradangan dan kecederaan.
Wanita yang pernah mengalami sakit belakang kehamilan adalah lebih cenderung mengalami sakit belakang selepas bersalin. Berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko sakit selepas bersalin.
Ditambah pula dengan berat anak yang semakin meningkat. Berat anak meningkat setiap tahun. Pada mulanya, anak anda mungkin seberat 3-4 kg sahaja, lama kelamaan berat anak meningkat sehingga 11-13 kg. Pastinya menyumbang kepada tekanan pada tulang belakang si ibu.
CARA UNTUK MENGURANGKAN SAKIT BELAKANG
Sakit yang dialami para ibu ini biasanya akan berkurang selepas beberapa bulan, namun ada juga ibu yang masih mengalami sakit ini walaupun selepas setahun.
Para ibu dan juga suami harus mengambil berat hal ini agar ianya tidak melarat dan membahayakan kesihatan si ibu.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi membantu mengurangkan sakit belakang yang dialami oleh para ibu.
Foto : Startwell nestle
1. Senaman
Kasihan para ibu. Semasa hamil digalakkan bersenam, selepas bersalin juga digalakkan bersenam. Tapi bersenam bukanlah satu perkara yang negative, bahkan suatu perkara yang sangat positif. Para ibu boleh mengajak si suami untuk turut serta mengikut si ibu bersenam agar memastikan keluarga kekal sihat.
Contoh senaman yang boleh dilakukan adalah seperti senaman lengkungan pelvis. Senaman ni mudah sahaja, hanya perlu baring melentang, dan membengkokkan lutut keatas. Kemudian Tarik nafas panjang dan tekan belakang ke lantai sambal melenturkan bahagian pelvis.
Ulang senaman ini selama selama 5 minit.
Sumber : http://www.study-body-language.com
2. Postur badan yang betul
Menggunakan struktur postur badan yang betul dalam kehidupan seharian dapat membantu para ibu dalam mengatasi masalah sakit belakang. Contoh postur badan yang betul adalah mencangkung terlebih dahulu sekiranya perlu mengangkat sesuatu barang.
Dengan mencangkung, kita dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh tulang belakang.
3. Pemakaian bengkung
Pemakaian bengkung kelihatan remeh, namun kegunaannya sangat memberi impak pada tulang belakang terutamanya kepada para ibu yang baru sahaja selesai bersalin.
Kebiasannya, postur badan adalah sedikit bongkok, yang mana menjadi postur harian. Dengan pemakaian bengkung, postur badan dapat diperbetul dan menjadi lurus sekaligus dapat membantu mengurangkan sakit belakang yang disebabkan postur badan yang tidak betul.
4. Pemakanan yang berkhasiat dan tidak “bisa”
Sewaktu berpantang, tidak semua makanan boleh diambil oleh para ibu. Makanan yang diambil hendaklah dikawal agar dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan para ibu.
Baca juga : IBU MENGANDUNG PERLU TAHU TIPS-TIPS PEMAKANAN INI
5. Banyakkan berehat dan baring
Selepas bersalin, ibu memerlukan rehat yang cukup kerana baru sahaja selesai bersalin.
Dengan berehat, badan boleh kembali pulih dan proses penyembuhan boleh berlaku tanpa sebarang gangguan.
Manfaatkan masa terluang dengan berehat dan baring supaya tulang belakang kita tak terbeban dan dapat rehat secukupnya.
6. Dapatkan urutan dan bertungku semasa dalam pantang
Para ibu juga boleh mendapatkan khidmat urut dan bertungku bagi membantu dalam pengaliran darah dan melembutkan urat. Dengan mendapatkan pengurut yang bertauliah dan berpengalaman dapat membantu melancarkan pengaliran darah dan mengelakkan dari tersumbat.
7. Postur yang betul sewaktu menyusu
Ketika menyusu, para ibu perlu elak dari membongkok. Tindakan yang boleh diambil adalah mengangkat bayi supaya tidak membongkok dengan menggunakan bantal atau “nursing pillow” menyokong baby semasa menyusu.
8. Elakkan angkat benda berat
Sekiranya boleh dielakkan, para ibu hendaklah mengelak dari mengangkat barang yang berat supaya tidak membebankan badan. Namun sekiranya tidak dapat dielakkan, boleh ikut cara dan tips nombor 1 sebentar tadi.
Akhir sekali, ibu yang baru sahaja bersalin memerlukan penjagaan yang rapi baik mental dan juga fizikal. Si suami boleh mengambil inisiatif untuk menjaga dan memberi rawatan yang sepatutnya kepada isteri.
Untuk isteri, hendaklah berusaha untuk memastikan diri sendiri sentiasa dalam keadaan baik dengan mematuhi segala pantang larang dan juga langkah rawatan agar dapat memastikan kesihatan diri dan bayi berada di tahap yang terbaik.
Dapatkan khidmat doktor atau pakar untuk nasihat bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Rujukan :
https://www.startwell.nestle.com.my/ms/bagaimana-untuk-melegakan-sakit-belakang-selepas-bersalin#
http://www.annursyuhadah.com/2017/10/bagaimana-melegakan-sakit-belakang-selepas-bersalin.html
http://irnisuhana.com/2017/09/04/cara-hilangkan-sakit-pinggang-selepas-bersalin/