Foto kredit : www.halodoc.com
“Kenapalah dengan Faiha ni, pegang telinga sampai merah-merah dah.. Apa la yang tak kenanya ni?”
Bagi ibu-ibu, perkara ini selalu terjadi dan kadang menjadi masalah untuk para ibu untuk tahu apa sebenarnya yang difikirkan oleh si kecil. Nampak macam mahukan sesuatu, tapi setelah diberi, ditolak pula. Sampai naik bingung jadinya.
Nak berkomunikasi dengan bayi anda bukanlah suatu perkara yang mudah. Biasanya bayi akan meluahkan segala apa yang ingin dikatakan dengan tangisan, jadi bagi ibu dan bapa, sememangnya sukar untuk mentafsir tangisan itu membawa maksud apa.
Namun, dengan pemerhatian dan ketelitian, para ibu dan bapa boleh memahami bahasa bayi anda dan sekaligus memenuhi kehendaknya.
APAKAH PENELITIAN YANG PERLU DILAKUKAN?
Ibu bapa perlu lihat segala pergerakan yang dilakukan oleh si manja sewaktu dia nangis dan juga sewaktu dia ketawa/gembira. Dari situ, para ibu boleh meneka dan menafsir kehendak sebenar si manja anda.
SELAIN MENANGIS, ADAKAH BAHASA LAIN YANG BAYI ANDA AKAN BUAT?
Selain menangis, bayi anda juga mampu berkomunikasi menggunakan bahasa badan yang lain.
Nak tahu lebih lanjut, boleh teruskan pembacaan di bawah yaa.
Foto Kredit: huffingtonpost.com
MENENDANG KAKI
Bayi anda suka menendang kakinya sewaktu selepas mandi dan semasa pakaikan pakaian?
Ini mungkin bermakna bahawa bayi anda sedang berasa seronok dan gembira dengan keadaannya. Kebiasaannya bayi akan melakukan gaya ini sekiranya dia berasa senang dan seronok dengan keadaannya terutamanya selepas mandi.
Namun, bayi anda juga mungkin berada tidak selesa dengan lampinya. Sebagai ibu bapa, periksalah segala aspek untuk mengetahui maksud sebenar perbuatan si manja anda itu.
MELENGKUNGKAN BADAN
Bayi anda suka melengkungkan badan semasa terjaga dari tidur sewaktu di dalam buaian? Atau sewaktu menyusu?
Ini mungkin membawa maksud bahawa si manja anda berada dalam keadaan tidak selesa dan perlu menukar kedudukan untuk memastikan si kecil anda kembali selesa.
MENGHANTUK KEPALA
Bahasa badan ini jarang berlaku, melainkan bayi anda meragam atau berada dalam kesakitan.
Sekiranya bayi anda kerap membuat perbuatan ini, bawa lah berjumpa dengan pakar perubatan untuk mendapatkan perincian.
Foto kredit: siraplimau.com
MEMEGANG TELINGA
Kebiasannya bayi anda suka memegang telinganya kerana dia tengah berada dalam keadaan gembira dan dalam proses mengenal anggota badannya sendiri.
Namun sekiranya ia memegang telinganya dan sedang menangis, bayi anda berkemungkinan berada dalam proses tumbuh gigi atau berada dalam keadaan tidak selesa. Periksa juga telinga anak anda untuk pastikan tiada jangkitan kuman pada telinganya.
Foto kredit : www.9bulan10hari.com
MENGGENGAM TANGAN
Ini adalah perbuatan normal yang selalu dilakukan oleh bayi. Bayi anda berkemungkinan berada dalam keadaan lapar atau dalam keadaan stress. Selain itu, bayi anda juga mungkin dalam kesejukan.
Bahasa badan menggengam tangan ini bergantung pada situasi semasa si manja.
MENGANGKAT LUTUT
Ini mungkin bermakna bahawa bayi anda sedang mengalami masalah perut tidak selesa, sembelit ataupun kentut. Ibu boleh cuba untuk mengurut badannya secara perlahan untuk memudahkan pengeluaran angin dari perutnya. Sekiranya anda menyusu, anda boleh mengurangkan makanan yang boleh menyebabkan angin dalam badan.
Foto kredit :kitabnamabayi.com
TANGAN TERANGKAT-ANGKAT
Bayi anda sedang berinteraksi dengan persekitarannya, sama ada bunyi ataupun pergerakan. Bayi yang baru lahir sememangnya sensitif dengan persekitaran terutamanya pada bunyi.
MEMANDANG TEPAT MATA ANDA
Apabila bayi anda tersenyum dan memandang tepat ke mata anda, bayi anda berkemungkinan suka melihat muka ibunya, dan ia dalam proses untuk mengingati muka ibu atau bapanya itu.
Akhir kata, banyak lagi bahasa badan yang dilakukan oleh si manja anda, dan hanya anda sebagai ibu dan bapa kepada bayi anda lebih mengenali bahasa badan anak anda. Bahasa badan diatas hanya sebagai panduan untuk anda memahami dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan anak anda.
Bukan mudah untuk memahami bahasa bayi anda, namun dengan pemerhatian dan penelitian, ia akan menjadi lebih mudah sekaligus anda senang untuk berkomunikasi dengan si manja anda.
Sumber rujukan :
https://bidanku.com/kenali-bahasa-tubuh-bayi
https://my.theasianparent.com/bahasa-tubuh-bayi/
https://my.theasianparent.com/bahasa-bayi-maksud/
https://siraplimau.com/maksud-bahasa-tubuh-bayi/