Cart 0

SUNTIKAN VAKSINASI, PERLU ATAU TIDAK?

SUNTIKAN VAKSINASI, PERLU ATAU TIDAK?

Foto credit : ©2012 Merdeka.com/Shutterstock/afitz


VAKSINASI UNTUK BAYI DAN KANAK-KANAK, PERLU ATAU TIDAK?

Vaksinasi adalah cara yang paling efektif untuk melindungi anak-anak kita daripada jangkitan penyakit yang boleh membawa kematian.

Vaksinasi adalah satu proses immuniti yang dikenalkan kepada badan kita. Ia terdiri dari virus atau bakteria yang mati atau lemah untuk meningkatkan pembentukan antibodi sekaligus menguatkan ketahanan ketahanan badan, terutamanya kepada bayi dan juga kanak-kanak yang mana antibodi mereka masih tidak kuat untuk melawan penyakit.

Penggunaan vaksin adalah cara yang selamat dan mudah untuk mengatasi penyakit yang mampu menggugat kesihatan dan keselamatan bayi dan juga kanak-kanak.

Imuniti (daya tahan) boleh diperolehi melalui 2 cara:

Aktif– Antibodi diperoleh dari hasil daripada jangkitan penyakit berkenaan.
 Pasif– Antibodi diperolehi melalui imunisasi

Namun, muncul beberapa kontroversi yang muncul berkenaan dengan pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak. Ada berita yang mengatakan bahawa vaksin adalah racun yang menyumbang kepada penyakit seperti autism. Namun begitu, tiada kajian yang kukuh mengatakan bahawa vaksinasi punca kepada autism dan kebaikan vaksinasi mengatasi kesan sampingannya.



images.jpg

Foto kredit : Utusan online


KELEBIHAN VAKSINASI

Pemberian vaksinasi pada bayi dan juga kanak-kanak dapat membantu mengelakkan bayi dan kanak-kanak dari terkena pelbagai penyakit berbahaya yang mampu mengancam nyawa.

Antara penyakit berbahaya yang dapat dicegah menggunakan vaksin adalah seperti berikut :

  1. Tibi (Tuberculosis) – boleh mengakibatkan radang paru – paru, radang selaput otak, jangkitan pada organ lain seperti usus, tulang, sendi serta buah pinggang dan boleh membawa maut.
  2. Hepatitis B – boleh menyebabkan penyakit hati kronik (chronic liver disease) dan kanser hati.
  3. Polio - lumpuh dan mengakibatkan ketidakupayaan fizikal atau kematian.
  4. Difteria- akibatkan kesukaran bernafas,masalah jantung dan saraf.
  5. Pertussis (batuk kokol) – boleh menyebabkan radang paru-paru, epilepsi dan boleh membawa maut.
  6. Measles (campak) – akibatkan radang paru-paru, radang selaput otak (meningitis), radang otak (encephalitis), pekak, buta, cirit-birit dan kematian.
  7. Mumps (beguk atau bengkak di belakang telinga hingga dagu) – radang otak (encephalitis), radang buah zakar (orchitis) yang boleh membawa kemandulan.
  8. Rubella pada ibu yang mengandung boleh mengakibatkan bayi dilahirkan cacat seperti katarak (buta), pekak, jantung berlubang, terencat tumbesaran dan terencat akal. Kecacatan ini dikenali sebagai Congenital Rubella Syndrome.
  9. Penyakit Hib (Haemophilus influenza type B) akan menyebabkan radang paru-paru, radang selaput otak, pekak, buta, epilepsi dan terencat akal serta radang epiglotis yang menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

ADAKAH VAKSIN SELAMAT DIBERIKAN?

Kajian terhadap penciptaan vaksin adalah salah satu dari kajian yang telah dilakukan secara meluas dan dipantau oleh FDA. Sebelum vaksin selamat diberi, ia perlu melalui pelbagai peringkat ujian klinikal untuk memastikan ianya selamat diberi kepada manusia.

Namun begitu, tidak semua bayi atau kanak-kanak boleh diberi suntikan vaksinasi. Ada sesetengah kanak-kanak dan bayi yang tidak boleh menerima suntikan vaksinasi kerana alahan dan sebab-sebab tertentu. Golongan ini dapat dibantu dengan bantuan “herd immunity” atau immuniti kelompok.

Immuniti kelompok ini merupakan satu langkah pencegahan yang dapat membantu kanak-kanak dan bayi yang tidak boleh menerima suntikan vaksinasi. Immuniti kelompok ini berfungsi sebagai rintangan untuk mencegah penyebaran penyakit berjangkit dalam satu populasi apabila terdapat sekumpulan komuniti yang kebal dengan penyakit berjangkit, terutamanya melalui proses suntikan vaksinasi.

Dengan erti kata lain, pengambilan vaksinasi bukan sahaja dapat membantu dalam pencegahan penyakit di peringkat individu, namun dapat membantu dalam pencegahan penyakit berjangkit dalam komuniti itu sendiri apabila ahli dalam komuniti itu tidak membawa sebarang penyakit berjangkit sekaligus mengurangkan risiko untuk terkena sebarang penyakit yang berjangkit.




image.jpg

Foto kredit : alamisegar.com.my


TIDAKKAN MENCUKUPI DENGAN PENYUSUAN IBU SAHAJA?

Tidak dinafikan, susu ibu adalah antara sumber antibodi yang penting bagi si kecil. Namun begitu, penyakit yang boleh dicegah adalah penyakit yang biasa dan hanya mampu melindungi si manja dalam tempoh dari 3- 6 bulan sahaja.

Dengan pemberian suntikan vaksinasi, si kecil dapat terus sihat dan dilindungi dari penyakit yang berbahaya.

Walaupun penyakit-penyakit yang di senaraikan di atas, tidak begitu menular di Malaysia, namun ia tidak bermakna penyakit itu tiada. Kesedaran untuk suntikan vaksin di Malaysia masih dapat membantu dalam mencegah penyakit tersebut dari menular. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan dan keselamatan anak kita terjamin.

Elakkanlah sebarang kontroversi berkenaan bahaya vaksinas yang diperoleh dari sumber yang tidak diketahui dan rujuklah pakar-pakar perubatan untuk sebarang maklumat vaksinasi yang lanjut.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Ingatlah sebelum terlambat.


Sumber rujukan:

https://my.theasianparent.com/pentingnya-vaksin-anak/

https://my.theasianparent.com/soalan-suntikan-vaksin/

http://www.myhealth.gov.my/jadual-imunisasi/

https://www.babycenter.com.my/a1044958/penyakit-kanak-kanak-dan-vaksin-vaksinnya





Older post Newer post